Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 26 Dis. - Kerajaan digesa merombak semula sistem pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini jika mahu melahirkan modal insan yang berkualiti.
Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kini sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan perubahan tersebut.
"Kita perlu merombak semula sistem pendidikan IPT yang hari ini dilihat terlalu memberi tumpuan pada peperiksaan semata-mata.
"Meritokrasi berdasarkan peperiksaan perlu diseimbangkan dengan meritokrasi berdasarkan bakat kerana sistem yang ada kini, lebih memberi tumpuan terhadap bidang akademik sahaja," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas usaha kerajaan yang mahu memperkasakan aktiviti kokurikulum di IPT bagi melahirkan modal insan berkualiti.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu bertujuan memperkasakan keseimbangan akademik pelajar dalam melahirkan modal insan yang bersepadu.
Mohamed Mustafa berkata, negara perlu mengambil contoh universiti-universiti luar negara yang begitu menghargai kelebihan dan bakat yang ada pada setiap pelajarnya.
"Kita tidak mahu melahirkan siswazah 'ulat buku' serta 'robot' sebaliknya seseorang yang memiliki sahsiah diri yang berkualiti, mampu menjadi pemimpin yang berfikiran kreatif dan kritis," katanya.
Beliau juga bersetuju jika peratusan kokurikulum ditingkatkan sebanyak 30 peratus berbanding kini hanya 10 peratus.
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Nik Mustapa Raja Abdullah pula berkata, setiap pelajar perlu dibimbing dan dibantu dengan cara yang betul agar bakat-bakat terpendam mereka dapat dicungkil.
"Salah satunya adalah melalui penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti bersukan, berpersatuan, keusahawanan dan kebudayaan.
"Justeru, pihak IPT perlu mendapat mandat daripada kerajaan dalam menyediakan sistem pendidikan yang seimbang antara kedua-duanya," katanya.
Jelas Nik Mustapa, UPM telah lama mengorak langkah bagi menyahut seruan kerajaan di mana sesetengah program kokurikulum di IPTA tersebut turut diberikan status berkredit.
"Walaupun kredit berkenaan tidak diberikan nilai, setiap program yang disertai mereka diiktiraf oleh UPM.
"Ia juga dicatatkan dalam transkrip keputusan akademik setelah mereka menamatkan pengajian dan ia mampu menjadi nilai tambah kepada setiap siswazah terlibat," katanya.
Tambahnya, kemahiran insaniah, komunikasi serta kelebihan bakat yang ada mampu melahirkan siswazah berkualiti seterusnya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan kini.
No comments:
Post a Comment