Dec 28, 2009

Laporan Lawatan Sambil Belajar

LAPORAN PROGRAM LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE TAPAK PROJEK
WTP SG. CHERUL

Tarikh : 22 Disember 2009 (Ahad)

Tempat : Cherul, Kemaman, Terengganu Darul Iman



1.0 PENGENALAN PROGRAM

Program Lawatan Sambil Belajar ini merupakan program julung kalinya dianjurkan oleh Eco’s Students Club untuk memberikan pendedahan kepada ahli kelab mengenai aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh Ecobuilders Sdn. Bhd. disamping menjadi permulaan untuk ahli kelab mendekatkan diri dengan kerjaya syarikat. Selain itu, program lawatan sambil belajar ini dilakukan pada musim cuti sekolah untuk mengisi masa yang terluang dengan aktiviti yang berfaedah serta menikmati keindahan negeri Terengganu.

2.0 OBJEKTIF

2.1 Memberi kefahaman kepada ahli kelab mengenai kerjaya bapa masing-masing di Ecobuilders Sdn. Bhd.
2.2 Memberi pendedahan awal kepada ahli kelab mengenai industri yang diceburi oleh syarikat.
2.3 Mengeratkan ukhuwwah islamiyyah antara ahli kelab.


3.0 TINDAKAN YANG TELAH DIAMBIL

3.1 Mengadakan perbincangan dua hala antara pihak penganjur program
dengan pihak syarikat sebanyak tiga(3) kali.
3.2 Menghantar kertas kerja dan surat permohonan tajaan program.
3.3 Menyediakan peralatan program termasuklah booklet peserta dan
bekalan air mineral.
3.4 Mengemaskini kehadiran peserta.


4.0 KEHADIRAN

Penasihat Program : Encik Jamaluddin Bahrain
Pengiring : Haji Zubair Shafie
Peserta :
1) Muneerah Shahrudin
2) Abdul Rahman Shahrudin
3) Nor Farha Zubair
4) Sulaiman Shahrudin
5) Muhammad Amin Shahrudin
6) A’ishah Shahrudin
7) Fatin Nadhirah Jamaluddin


5.0 KEMAJUAN / MASALAH

Program bermula dengan konvoi dua buah kereta dari Stesen Minyak BHP selepas Tol UIAM Gombak. Perjalanan bermula jam 8.30 pagi. Sepanjang perjalanan, ketujuh-tujuh peserta yang menaiki sebuah kenderaan khusus telah menjalankan sesi berbincang secara santai. Tujuan slot diskusi ini tidak lain dan tidak bukan untuk berta’aruf sesama ahli kelab. Jam 9.40 pagi, rombongan konvoi berhenti untuk sarapan di Batu 5 Mentakab, Pahang. Perjalanan diteruskan. Rombongan sekali lagi berhenti tepat jam 12.45 tengah hari untuk makan tengah hari. Destinasi yang ingin dituju tidak beberapa jauh dari tempat makan tengah hari.

Akhirnya jam 1.30 petang, rombongan Eco’s Students Club tiba di tapak projek Sg. Cherul. Pertemuan dengan Site Supervisor, En. Taqiy diadakan di bilik mesyuarat. Slot penerangan dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah, Saudari Muneerah. Dimulakan dengan ucapan penghargaan Saudari Nor Farha selaku Pengarah Projek Lawatan Sambil Belajar WTP Sg. Cherul seterusnya ucapan dari Penasihat Program, Encik Jamaluddin diikuti oleh ucapan dari pengiring khas, Haji Zubair Shafie atau Uncle Z. Turut tidak dilupakan Site Supervisor, En. Taqiy yang memberi serba sedikit penerangan mengenai tapak projek dan diambil alih pula oleh En. Jamaluddin yang juga Project Manager Projek WTP Sg. Cherul. Kesemua peserta telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi sepanjang slot penerangan ini dijalankan. Respon yang positif juga telah ditunjukkan oleh mereka. Para peserta juga diingatkan agar memahami perkara asas atau fundamental sepanjang slot penerangan.

Aktiviti seterusnya dan paling ditunggu-tunggu oleh para peserta ialah lawatan tapak. Terdapat 3 WTP di tapak ini termasuklah yang sudah sekian lama wujud, sedang dalam pembinaan (Fasa I) dan belum dibina (Fasa II – menunggu Letter Award). Para peserta telah melihat sendiri apa yang dikatakan intake, treatment, dan hydraulic. Hal ini membantu peserta memahami layout yang disertakan dalam booklet. Sepanjang aktivti melawat tapak, para peserta telah menunjukkan komitmen yang tinggi dengan mengajukan persoalan-persoalan yang bernas. Para peserta turut dibawa ke Sg. Cherul yang terletak 7 minit dari tapak projek dibina.



Pertemuan ditamatkan dengan sesi fotografi bersama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Para peserta bersama Uncle Z meneruskan agenda seterusnya iaitu menunaikan solat jamak ta’khir dan makan malam.

Selesai makan malam di Tanjung Lumpur, Kuantan perjalanan pulang ke Selangor bermula jam 8.15 malam dan tiba pada jam 11.20 malam.

6.0 RUMUSAN

Secara keseluruhannya program ini berjalan dengan lancar serta bermanfaat. Sesungguhnya banyak ilmu yang telah dicurahkan sepanjang berada di tapak projek ini. Semoga ilmu-ilmu tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para peserta untuk diri mereka sendiri dan menjadi tanggungjawab untuk menyampaikan pula kepada rakan-rakan yang tidak dapat menyertai program. Insya Allah. Kesemua ahli kelab telah memahami dan sepakat bahawa program sebegini perlu ada kesinambungan atau continuity. Segala yang baik sepanjang perjalanan program ini adalah dari Allah s.w.t dan yang kurang baik itu datangnya dari kelemahan pihak penganjur sendiri. Wallahua’lam.

No comments: