Oct 21, 2010

Membentuk Rijal Dakwah

‘Rijal’ dari segi bahasanya bererti para lelaki, namun perkataan ‘Rijal’dalam bahasa Arab tidak bermakna fizikal melainkan ia mengandungi makna :

1. Keberanian.
2. Ketulusan.
3. Kepahlawanan.
4. Konsistensi.
5. Pengorbanan.


Makna itulah yang disinggung oleh Al Qur’an dalam surah Nur ayat 37 iaitu menceritakan tentang ‘Rijal’yang tidak dilupakan oleh perniagaan dan jual beli dari mengingati Allah swt, solat dan membayar zakat.



Begitu juga perkataan ‘Rijal’disebut di dalam surah Al Ahzab ayat 33 yang menceritakan bahwa ada ‘Rijal’ yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah swt, ada yang gugur dan ada yang masih menunggu gilirannya, tanpa merubah janjinya.



Lelaki secara fizikalnya tidak memberi apa-apa erti tanpa nilai-nilai moralnya sebagai ‘Rijal’ kerana ada ramai perempuan yang memiliki sifat ‘Rijal’ kerana ia telah memiliki sikap yang jarang boleh dilakukan oleh orang selainnya.



Menjadi manusia itu adalah satu kurniaan tetapi kualiti kemanusiaan kita itu ada pada sebatas dan sejauh mana usaha kita menjalankan fungsi kurniaan itu.



Menjadi lelaki atau perempuan itu adalah kehendak Allah swt yang datang tanpa kita minta tetapi nilai diri yang sebenarnya adalah bagaimana kita melaksanakan peranan kita sebagai lelaki atau perempuan.



‘Rijalud Dakwah’ atau Lelaki Dakwah adalah orang-orang yang sentiasa siap sedia untuk berjuang dan berkorban di jalan Allah dan menjadi anasir perubahan dalam masyarakat.



Seorang Lelaki Dakwah mestilah memiliki keistimewaan yang dapat ditonjolkan sehingga orang cenderung menjadikan seorang Lelaki Dakwah sebagai contoh tauladan.



KEISTIMEWAAN LELAKI DAKWAH


Di antara keistimewaan yang menonjol meliputi :

1) Semangat yang tinggi untuk berbuat kebaikan.
2) Mempunyai hafalan Al Qur’an mahupun hadits yang banyak.
3) Prestasi akademik yang baik.
4) Menjadi aktivis dakwah.

Oleh kerana itu, seorang Lelaki Dakwah mesti mampu mengetahui keistimewaannya sehingga dia mampu mengasah dan mengembangkannya.



“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh. (itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (QS At-Taubah : 111)



Ibarat perniagaan, maka Allah membeli orang-orang mukmin dengan penuh keikhlasan kerana perniagaan tidak akan bermakna bahkan akan menjadi rugi jika dalam keadaan yang terpaksa.



Itu adalah keadaan yang menggambarkan keikhlasan orang-orang beriman yang berjuang di jalan Allah.

Orang-orang yang berjiwa ‘Rijal’ tidak mudah dikenali kecuali ketika :

1. Melalui keadaan dan suasana yang tertekan.
2. Dihempas fitnah.
3. Timbul berbagai krisis.

Pada ketika itulah jiwa ‘Rijal’ berupa kepahlawanan dan semangat juang yang tinggi akan terserlah.

Peribadi Lelaki Dakwah tidak dilihat dari nilaian luaran atau besarnya tubuh badan.


Ali bin Abu Talib ra pernah mengatakan :


“Nabi saw memerintahkan Ibnu Mas’ud untuk memanjat pohon dan mengambil sesuatu dari pohon itu. Para sahabat melihat betis Abdullah bin Mas’ud yang tersingkap ketika ia menaiki pohon tersebut. Mereka tertawa kerana melihat kurusnya dua betis Ibnu Mas’ud ra. Rasulullah saw lalu mengatakan, “Apa yang kamu tertawakan? Betis Abdullah bin Mas’ud itu lebih berat timbangannya di hari kiamat daripada gunung Uhud.” (HR Ahmad)



CIRI-CIRI LELAKI DAKWAH



Adapun ciri-ciri para Lelaki Dakwah adalah seperti berikut :

1) Memiliki kefahaman Islam yang benar dan lurus.
2) Jiwa dan fikirannya cerdas dan bersih serta dibentuk oleh perkara besar.
3) Keikhlasan yang tinggi untuk membela fikrah, bukan membela kepentingan peribadi.
4) Terbina dalam amal ibadah dan akhlak mulia.
5) Lebih banyak bekerja daripada berbicara.
6) Memiliki sikap optimis.
7) Sabar menghadapi kesulitan.
8) Menunjukkan kesempurnaan dalam dakwah.
9) Bergetar hatinya apabila disebut nama Allah.
10)Bertambah imannya apabila dibacakan ayat-ayat Allah.
11)Mudah menangis mengingati akhirat.
12)Tidak mudah bersedih kerana urusan dunia.


Adapun marhalah dalam bentuknya yang sempurna adalah :

1. Di saat mendengar perintah, ia taat walau dalam keadaan senang atau susah.

2. Tidak mementingkan hal peribadi dan keluarga, hidupnya adalah sepenuhnya untuk dakwah.

3. Sentiasa siap sedia dalam jihad untuk menegakkan syariah.

4. Siap sedia untuk berkorban dengan segala potensi yang dimiliki.

5. Memiliki keteguhan untuk mencapai cita-cita dakwah, sekalipun mesti ditempuh dengan perjalanan yang sangat panjang.

6. Taat pada qiyadah dan jamaah.

7. Tsiqah pada qiyadah dan jamaah.

8. Sentiasa memelihara rasa ukhuwah yang berlandaskan kasih sayang dan saling mencintai.



BAGAIMANA MELAHIRKAN LELAKI DAKWAH


Salah satu cara untuk memiliki sikap-sikap Lelaki Dakwah adalah dengan meniru Lelaki Dakwah.

Mencontohi orang-orang yang kita anggap memiliki perilaku dan amal yang jauh lebih baik serta berusaha mengikuti jejak orang-orang soleh :

Dalam beribadah.
Dalam berkorban.
Dalam memberi.
Dalam kedisiplinan.

Jika dengan usaha meniru itupun kita masih tidak dapat mencapai kualiti seperti mereka, namun setidak-tidaknya kita sudah menjadi lebih baik kerana kita sudah mengikuti mereka.



HUBUNGAN LELAKI DAKWAH DENGAN TANDZIM


Suatu perkara yang mesti difahami pula oleh para Lelaki Dakwah adalah masalah ‘tandzim’.

Islam sebagai manhaj adalah berdiri di atas landasan ‘nizham’ dan ‘tandzim’ yang sempurna dan saling melengkapi.


Adakah masuk akal, dakwah yang :

Menyeru kepada Islam.
Menyeru untuk membangun kehidupan di atas landasan Islam.
Membentuk masyarakat yang beriman kepada Islam.
Mendirikan negara yang berhukum dengan syariat Islam.

tidak menggunakan ‘tandzim’?



Sistem ibadah seperti solat, puasa, zakat dan haji di setiap bahagian perinciannya tegak di atas sejumlah prinsip dan dasar-dasar ‘tandzim’ yang kukuh.



Begitu juga dengan sistem masyarakat, hukum perkahwinan, undang-undang yang mengatur keluarga Islam dan hubungan sosial. Semua itu, di setiap aspeknya tegak di atas dasar ‘tandzim’ yang kuat.

Oleh yang demikian, seluruh sistem yang digariskan di dalam manhaj Islam berdiri kuat di atas dasar ‘tandzim yang rapi dan kukuh.



‘TANDZIM’ ADALAH PETUNJUK AL QUR’AN



Al Qur’an menegaskan bahwa banyak ayatnya secara jelas atau dengan isyarat agar memperhatikan ‘tandzim’ dan tidak melupakannya sehingga dalam aspek dakwah, umat diisyaratkan agar memiliki ‘qiyadah’ yang memutuskan hukum dan perkara di antara mereka.Apa yang diputuskannya mesti diterima tanpa merasa berat sedikitpun.



“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu.” (QS An-Nisa’ : 59)



Ketika menjelaskan hubungan yang erat sesama kaum muslimin dan rasa senasib sepenanggungan di antara mereka terutama ketika mereka menghadapi musuh.



Allah swt berfirman :



“Sesungguhnya Allah swt mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (QS As-Shaff : 4)



‘TANDZIM’ ADALAH ASAS PETUNJUK KENABIAN



Rasulullah saw sebagai teladan dan pemimpin umat Islam memberikan perhatian yang besar terhadap ‘tandzim’.



Hal ini dapat dilihat dari seruannya yang jelas dan terang agar kaum muslimin sentiasa menegakkan kepimpinan dan memilih seorang pemimpin pada setiap kelompok.



“Jika kamu tiga orang hendaklah salah seorang menjadi pemimpinnya.” (HR Ath-Thabrani dengan sanad Hasan)



Dari sinilah lalu ditentukan tugas-tugas seseorang dan siapa yang mengawasinya dengan mengarahkan dan meluruskannya apabila terdapat kelemahan.



“Dengar dan taatlah walaupun yang memerintahkan seorang hamba Habsyi yang kepalanya seperti buah kismis.” (HR Bukhari)



Dalam rangka memperingatkan akan berlakunya fitnah dan pecahnya barisan kaum muslimin yang akan membuatkan mereka lemah dan membangkitkan keberanian musuh, Rasulullah saw bersabda :



“Barangsiapa menarik tangannya dari ketaatan, maka dia akan menemui Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai alasan. Barangsiapa mati dan dilehernya tidak ada ikatan bai’ah, maka dia mati sebagai kematian jahiliah” (HR Muslim)



‘TANDZIM’ ADALAH DASAR AMALAN RASULULLAH SAW



Aktiviti dan amaliyah Rasulullah saw di seluruh tahapan kenabiannya samada pada :

Fasa Makkah ataupun Madinah.
Baik dalam konteks tarbiyah.
Fasa penyebaran dakwah.
Fasa peperangan.
atau yang lainnya, semuanya dilakukan berdasarkan prinsip-prinsip ‘tandzim’.

Beliau menaruh perhatian yang sangat besar terhadap masalah ini seperti yang ditunjukkan ketika Rasulullah melakukan ba’iah Aqabah I dan II.



SASARAN-SASARAN ISLAM ANG BESAR MENUNTUT ADANYA ‘TANDZIM’



Dakwah dan aktiviti Islam dalam keadaan tidak adanya negara Islam yang berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, sasarannya mesti menghasilkan perubahan, yakni merubah realiti di mana mengubah realiti bukan hanya sekadar nasihat yang larut dengan keadaan dan suasana sehingga menjadi sebahagian darinya.



Perubahan yang Islamik mesti dilakukan terhadap keadaan jahiliah yang ada pada :

Idea-idea.
Keyakinan.
Sistem.
Undang-undang.
Akhlak.
Moral.
Adat istiadat.
Perkara ini tidak mungkin dapat direalisasikan kecuali dengan pembentukan suatu organisasi dan ‘tandzim’ yang rapi.



BESARNYA PERMUSUHAN YANG DIHADAPI ISLAM MEWAJIBKAN ADANYA ‘TANDZIM’



Musuh-musuh Islam memiliki puluhan ‘tandzim’, gerakan, dan wasilah-wasilah yang formal.

Semua ini digunakan untuk melakukan konspirasi dan tipu daya terhadap Islam dan umatnya.

Mereka mempunyai wasilah dan prasarana yang tidak terhitung banyaknya.
Mereka menguasai berbagai teknologi moden dalam melakukan rancangan jahat mereka terhadap Islam, samada dalam program-program ataupun di segi operasinya.
Mereka unggul dalam semua ini.
Mereka telah bergerak untuk membuat persekongkolan jahat di peringkat antarabangsa yang didukung oleh kekuatan tentera dari berbagai negara.
Oleh kerana itu, apakah masuk akal kita mempertahankan dan membela Islam tanpa :

Perancangan?
‘Tandzim’?
Organisasi yang mantap?
Pengurusan yang canggih?
Tanpa perkara-perkara di atas, ke mana dakwah Islam ini mahu dibawa dalam seluruh gerakerjanya?

Siapakah yang mendapat keuntungan dan kerugian?



HIMBAUAN UNTUK KITA :



Hendaklah kita memahami Islam dengan kefahaman yang benar sebelum tampil mendakwahkannya.

Bertaqwalah kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa dan ingatlah sentiasa firmanNya :



“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” (Qs Qaaf : 37)



Akhirnya, menjadi Lelaki Dakwah bermakna melakukan sesuatu yang sukar dilakukan oleh orang lain pada kesempatan yang tepat.



Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami sehingga kami mampu untuk membentuk diri kami untuk menjadi Lelaki Dakwah yang tegak dan bergerak di dalam satu tandzim yang teguh dan mantap dalam usaha untuk menegakkan syari’ah Islam di dalam diri, masyarakat dan negara.



Ameen Ya Rabbal Alameen


Allahu yubarik alaih.MS

No comments: