Jul 28, 2009

Memberi emosi ruang untuk bernafas by Akh Fazrul

Memberi emosi ruang untuk bernafas

19 JULY 2009 BY AL-MUNTALAQ

Dalam membina iman, ada naik turunnya. Dalam membina intelek, ada faham dan bingungnya. Dalam kantung atau wallet, ada kembang kempisnya. Dalam emosi dan perasaan untuk meneruskan kehidupan, perlu ada ruang untuk diri bernafas dengan baik dan normal. Ini lebih-lebih lagi dalam bergelut dalam medan menyeru kebaikan dan mencegah kemunkaran – medan yang membawa seseorang naik ke atas menuju Allah. Nabi Muhammad tidak hanya mulia di sisi Allah dengan ibadat personal, tetapi kerana ada tugas yang menyebabkan beliau digelar ulul-azmi. Ulul azmi mempunyai banyak cabaran.

Untuk berada dalam medan penuh cabaran itu, kita yang memilihnya. Ada individu yang menyatakan, saya tidak mahu terlibat dengan dakwah. Saya tidak layak. Saya mahu concentrate diri dan keluarga saya sahaja. Namun recognition Allah amat penting diberi perhatian:

(3:110) Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Allah menyatakan kita adalah sebaik-baik umat, dengan syarat kita melaksanakan apa yang dinyatakan dalam ayat di atas. Dalam ayat 3: 104, Allah menyatakan amalan-amalan di atas sebagai syarat al-muflihuun (kejayaan). Tidak mahukah kejayaan yang terbaik, di-endorse oleh Allah?

Kerana kerja ini besar dan memerlukan stamina tinggi, kita perlu menjaga pernafasan kita. Salah satu perkara penting ialah memberi ruang untuk emosi kita bernafas. Ada yang melaksanakan dakwah, kerana merasakan dirinya perlu bersungguh-sungguh, melaksanakannya tanpa memberi ruang nafas pada emosinya. Apakah tanda individu yang tidak memberi nafas kepada emosinya? Antaranya

Amat bersungguh-sunnguh, dan saya ‘boleh buat’
Tidak bersedia untuk menyatakan ’saya sibuk sikit’
Sukar untuk mengakui kesilapan dan kelemahan
Tidak mahu berkongsi dan berbincang cabaran. Kalau bincang pun, ingin diselesaikan segera
Hanya ‘mahu berkomunikasi dengan Allah’ sahaja tanpa mahu berkongsi keprihatinan sesama rakan dakwah
Dan banyak lagi
Bagaimana contoh yang ditunjukkan Rasul? Selepas mendapat wahyu pertama, beliau meminta isteri kesayangan, Khadijah untuk menyelimutkan beliau. Beliau memberi ruang emosinya ’saya khuatir’. Dengan memberi nafas itu, Khadijah memberi kata-kata perangsang.

Ketika Rasul dibaling batu dan diherdik anak-anak Taif, beliau ‘memberi nafas’ kepada emosinya ‘untuk surrender sekejap’ sebelum meneruskan langkah. Dengan emosi begitu, ia akan membawa kepada kedekatan kepada Allah. Emosi yang Allah berikan kepada kita ialah untuk merasakan kedekatan kepada Allah. Kita boleh mendekati Allah dengan ilmu. Namun ilmu itu perlulah menimbulkan ‘eureka’ atau ’subnahallah’ lantas mengembalikannya kepada Allah. Eureka atau subhanalllah hanya akan bermakna jika disertai emosi syukur. Ia bukan hadir tiba-tiba. Ia diawali satu saat menarik nafas dan memberi ruang emosi mengakui ’saya ada masalah, saya stuck.’

Apabila emosi diberi ruang bernafas, ia bermaksud kita tidak menahan nafas kita hanya untuk menyelesaikan sesuatu tugas. Ramai yang merasakan apabila buat kerja yang sukar, kena tahan nafas agar fokus dan tidak hilang tujuan. Ketika melintas sebuah jambatan yang sempit menggunakan basikal, ramai yang menahan nafas agar konsisten dan fokus. Ketika berhadapan dengan sesuatu yang bahaya, kita akan menahan nafas agar semuanya ‘terkawal’. Namun kerana dakwah ini jalan yang panjang,’nafas perlu panjang’ tetapi bukanlah hingga tidak bernafas.

Menyedari emosi ini perlu diberi nafas amat penting. Untuk mendaki bukit atau gunung, memang kita perlu menahan atau ‘memprogramkan’ nafas lebih panjang agar mampu mendaki ke atas. Tetapi ia tidak menafikan hak untuk bernafas. Begitu juga dengan emosi kita.

Semoga kita mampu memanjangkan nafas dengan latihan ruh yang kuat, agar dapat berbuat kebajikan dan usaha dakwah dengan baik. Namun apabila ada masa letih, atau tenaga emosi sudah berkurang, akuilah ia adalah titik kelemahan kita. Dengan kita berkongsi dengan manusia, rakan akan lebih memahami. Namun perkongsian dengan Allah amat penting, agar kita akan terbuka kepada menghargai kebesaran tanda-tanda-Nya. Membaca ayat al-Quran dengan tadabur akan memberi ruang untuk emosi kita berkomunikasi dengan Tuhan Rabbul-Jaleel.

1 comment:

+akufobia+ said...

dititik lemah itu lah DIA menciptakan penguatnya.DIA,amalan sunat,family,sahabat,doa?