Jul 22, 2009

Al-Mawardi : Tokoh Sains Politik dan Ahli Al-Fiqh


Al-Mawardi
Tokoh Sains Politik dan Ahli Al-Fiqh



Al-Mawardi dibesarkan dalam keluarga yang sememangnya cinta kepada ilmu pengetahuan. Justeru, sejak kecil beliau diajar al-Quran, hadis, fikah, Usul dan lain-lain ilmu Syariat. Di peringkat awalnya beliau mendapat bimbingan daripada Abu Qasim al-Syaimiri, seorang ulama Basrah yang terkenal ketika itu dalam bidang fiqh.
Beliau juga mempelajari ilmu hadis daripada beberapa ulama terkenal seperti Hasan bin Ali al-Jayli, Muhamad bin Ma’ali al-Azdi, Muhamad bin ‘Adi al Munqari. Bahkan al- Mawardi turut mengambil ilmu kesusasteraan bahasa Arab dari Syeikh Abu Muhammad al-Baqi di samping berguru dengan Syeikh Hamid Isfarayni.

Dikatakan bahawa al-Mawardi pernah dilantik memegang jawatan kadi di beberapa buah negeri seperti Kurat, di negeri Naisaburi sehingga beliau digelar Qadi al-Qudha. Sepanjang beliau memegang jawatan sebagai kadi, beliau dapat mengetahui keadaan seharian masyarakat awam dan berinteraksi dengan mereka dengan lebih dekat lagi. Beliau juga dapat menyelami dan memutuskan perkara-perkara adat untuk disesuaikan dengan panduan syarak. Daripada jawatan kadi, beliau dinaikkan pangkat yang lebih tinggi dalam tugas pentadbiran dan pemerintahan negara.

Pengalaman beliau dalam bidang politik dan pentadbiran kerajaan telah memberi peluang kepadanya untuk menghasilkan karya iaitu Kitab Al-Ahkam Al-Sultaniyah. Kitab ini banyak menyentuh berkaitan dengan ekonomi Islam dalam konteks makro seperti menguruskan pendapatan dan perbelanjaan, menjaga hak awam dan hak istimewa dalam meluaskan pasaran.
Beliau juga menekan kewujudan Institusi Hisbah yang diuruskan muhtasib selaku juru bicara keadilan dalam pasaran.

Selain itu kitab tersebut juga membincangkan tentang pertanian, penternakan, perdagangan dan perindustrian sebagai empat sektor utama. Beliau juga menyentuh perihal kewangan Islam mengenai prinsip al-Mudharabah dalam kertas kerja beliau yang dinamakan al-Hawi. Al-Mawardi dianggap sebagai pemikir dan tokoh politik negara yang paling menonjol semasa pemerintahan kerajaan Abbasiyah. Maka tidak hairanlah jika beliau sering dijadikan pakar rujuk kepada pembesar-pembesar negara apabila mereka menghadapi masalah. Sementelah pula, beliau juga mahir dalam ilmu tafsir, usul fi qh dan ilmu kemasyarakatan.



Ketahui dengan lebih mendalam kisah Al-Mawardi dalam
Majalah I keluaran Julai 2009

1 comment:

Unknown said...

kekaguman bermula.