Dec 20, 2008

Terrafugia Transition

Kereta terbang pertama dijual tahun depan


GAMBAR kereta terbang di sebuah stesen minyak di sebuah lokasi rahsia.


LOS ANGELES - Kereta terbang pertama di dunia bakal menyusuri jalan raya menjelang tahun depan apabila dijual pada harga £127,000 (RM660,368), lapor sebuah akhbar semalam.

Sejak filem Back to the Future ditayangkan pada 1980-an, sejumlah pereka berhasrat untuk mencipta sebuah kereta yang mampu terbang di angkasa dengan menekan satu butang.

Bagaimanapun, kini seorang yang memiliki lesen juruterbang boleh memiliki kereta terbang tersebut dengan penghantaran dijangka bermula pada tahun depan.

Kenderaan keluaran syarikat Terrafugia di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) itu juga mempunyai sayap yang boleh dilipat sekali gus membolehkan pemilik menyimpannya di garaj rumah.

Kereta itu yang dinamakan Terrafugia Transition mempunyai sayap selebar 8.38 meter itu mampu terbang sejauh 740 kilometer dengan kelajuan 185 kilometer sejam.

Pemilik juga boleh menyusur dengan laju di lebuh raya sekiranya kenderaan yang mempunyai 100 kuasa kuda itu diletakkan dalam mod kereta.

Untuk mengisi minyak kenderaan sepanjang 5.79 meter itu juga mudah, pemilik hanya perlu memandu masuk ke stesen minyak dan mengisi petrol tanpa plumbum.

Kereta itu juga memerlukan landasan yang pendek untuk terbang, tidak seperti kebanyakan kereta terbang konsep yang lain.

Syarikat tersebut dalam laman webnya, Terrafugia.com memberitahu bahawa jadual pengeluarannya kini menjadi sibuk dengan begitu cepat. - Agensi



No comments: